Sunday 19 May 2013

TERIMA KASIH SAHABAT!!!


Bismillahirrahmanirrahim..

Bersyukur kepada Allah kerana masih menghidupkan aku pada hari ini. Buka sahaja facebook pagi ini page UiTM Sentiasa Dihatiku telah memaklumkan bahawa ibu kepada seorang graduan yang baru grad semalam telah kembali ke Rahmatullah. Mari kita sedekahkan Al-Fatihah. Sesungguhnya hidup dan mati kita di tangan Allah. Jika Allah nak mematikan kita, nescaya kita tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Andai Allah masih memberi kita peluang untuk hidup, amat-amatlah beruntung diri kita.

Semalam aku ada post status di facebook yang aku rasa tak tergamak langsung untuk aku post benda tu. Maaf sahabat, rakan-rakan, kawan-kawan andai terasa hati. Tak pernah terfikir bagi diri aku untuk bangkit memperjuangkan bangsa semata. Memang aku sayang bangsa aku, tak dinafikan. Semua orang menyayangi bangsa mereka. Tapi ingatlah hati, ayat Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat 13:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Andai aku atau kita memperjuangkan bangsa semata, tidak tentu lagi Islam akan selamat. Namun, andai kita perjuangkan Islam nescaya semua bangsa akan selamat di bawah naungan Islam. Allah tak pernah berjanji bangsa ini akan masuk ke syurga, bangsa itu akan masuk neraka. TIDAK. Tak pernah. Dalam ayat di atas, Allah beritahu bahawa “sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih takwanya”. Tak kira apa bangsa, andai dia beriman dan bertakwa, nescaya dia adalah orang yang mulia disisi Allah.

Selepas sahaja aku post status tu semalam, banyak respon dari rakan-rakan dan sahabat-sahabat. Bertanya mengapa aku post status macam tu. Seperti tidak percaya. Hahaha. Thanks kawan-kawan kerana bertanya dahulu sebab aku post benda tu. Thanks juga sebab masih mempercayai diri yang lemah dan hina ini. Teringat kisah sebab turun ayat surah Al-Hujurat ayat 6:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”

Dalam ayat ini Allah menyebut, andai ada seseorang membawa berita, post status, share maklumat dimana-mana, di facebook, surat khabar, internet, twitter, whatsapp, viber, twitter, line, wechat, dan sebagainya, maklumat itu perlulah diselidiki, perlu dikaji, perlu ditanya kepada orang yang terlibat dengan maklumat yang didapati. Andai kita mendengar dari si A yang mengatakan si B ni pencuri, kita perlu juga mendengar penjelasan daripada si B. bukan terus menghukum tanpa ada usul periksa. Bukan terus membuat andaian yang semberono. Andaikata berita dan maklumat itu diperolehi dari orang yang paling kita sayang, yang paling dekat dengan kita sekalipun kita perlu selidikinya. Inikan pula berita dari sahabat yang jauh dari kita.

Mungkin ada sebab mengapa mereka melakukan perkara tersebut yang kita sendiri tidak tahu apa sebabnya. Mungkin  tahap kesabarannya sudah tidak dapat dibendung. Mungkin sekadar bergurau dengan rakan-rakan. Mungkin keadaan budaya kita tidak sama. Mungkin situasi kita berbeza. Mungkin waqi' kita berlainan. Mungkin itu memang perancangannya untuk mendidik dan membuka minda manusia, mungkin perkara tersebut dilakukan sebagai ‘reverse psychology’. Mungkin kata-katanya untuk menyedarkan seseorang, mungkin apa yang dilakukan adalah untuk mengelakkan mudharat yang lebih besar. Kita tak tahu sebabnya. Jadi bertanyalah jika tidak tahu.

Sekali lagi aku nak minta beribu kemaafan kepada mereka yang terasa dengan apa yang dipostkan semalam. Mungkin aku terlupa sebentar adap memberi peringatan. MAAF, MAAF, MAAF. Terima kasih buat rakan-rakan yang bertanya dan terima kasih juga buat sahabat-sahabat yang memberikan nasihat dan peringatan. Sesungguhnya, anda adalah sahabat yang terbaik.

TERIMA KASIH SAHABAT!!!!


8.06 am
Isnin
20 Mei 2013




No comments:

Post a Comment