Wednesday 26 November 2014

Modul Pengkaderan dan Pentarbiyahan UMNO : Satu Pengharapan



Tujuh langkah pembaharuan perlu dilaksanakan UMNO dengan segera termasuk mewujudkan modul pengkaderan dan pentarbiyahan tersusun bagi melengkapkan perubahan serta peremajaan UMNO sebagai parti harapan orang muda pada masa depan, kata Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, langkah itu mampu melahirkan lebih ramai pemimpin muda UMNO yang bijak, petah dan tangkas berhujah serta teguh daya rohaninya bagi menjadikan mereka sebagai kumpulan pemikir muda di dalam UMNO.


Sangat menarik apa yang dicadang dan dicanangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia ini. Sesungguhnya untuk melahirkan seorang yang kuat dan mantap dari segi kepimpinan ia perlu bermula dari kekuatan rohani atau spiritual. Perlu kepada asas yang kukuh. Kita boleh analogikan seperti kita ingn membina bangunan pencakar langit. Asas dan tapaknya perlu kukuh dan padu supaya mana apabila bangunan itu dapat mencecah awan ia mampu teguh berdiri dan tidak tumbang walau ditiup angin yang kuat, walau digegar bumi dek gempa, walau disimpan beribu manusia di dalamnya. Bangunan itu akan kekal berdiri sehingga takdirnya mencecah bumi.



Sewaktu di sekolah menengah dahulu pernah berlaku perbincangan antara aku dan sahabat baik aku. Kami berbincang bagaimana untuk kita menguatkan parti UMNO yang kami dokong sewaktu itu. Sewaktu itu kami masih lagi bukan ahli UMNO tapi atas dasar sayangkan bangsa dan agama, kami berdiri bersebelahan dengan parti keramat orang melayu ini.

 Kami bukan pelajar biasa, kerana matlamat kami bukan sekadar memperoleh sijil semata-mata tapi kami mempunyai hasrat yang satu pada waktu itu iaitu ingin melihat Islam menang dan sistem Islam diimplimentasikan di dalam pentadbiran Negara yang tercinta. Dalam masa yang sama kami ingin memastikan bangsa kami iaitu Melayu terus kekal dengan identiti Melayunya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Dalam Perlembagaan Persekutuan di dalam perkara 160 telah mendefinasikan orang Melayu sebagai seseorang yang menganuti agama islam, bertutur dalam bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu serta lahir sebelum hari merdeka di Persekutuan atau di Singapura atau ibubapa telah lahir di Persekutuan atau di Singapura pada hari merdeka dan menetap di Persekutuan dan di Singapura atau ia adalah keturunan seseorang tersebut.



Kami berhasrat agar identiti ini tidak hilang dari bangsa kami dalam kepesatan dan kerancakan ingin menegakkan keagungan Negara Malaysia itu dimata dunia. Justeru kami sering bersama dan membantu guru-guru kami sekiranya ada program pembentukan rohani atau pembentukan kendiri yang ingin dijalankan. Dari kami dibangku sekolah sehinggalah kami sudah menjadi alumni. Kami berasa bertanggungjawab untuk membentuk akhlak dan jatidiri adik-adik kami agar andai ada dari kalangan mereka yang memegang tampuk kuasa kelak, tidak lupa asalnya, tidak lupa kulitnya, dan tidak runtuh dek ditiup taufan yang menggila.

Suatu hari di sekolah aku terjumpa sebuah buku yang diterbitkan oleh lajnah perkaderan PAS(kalo tak silap). Atas dasar memang aku gila membaca, aku pun bacalah buku tu. Lebih-lebih lagi buku berkaitan politik semasa. Al maklumlah budak bahas kan. Satu kekaguman timbul selepas aku membaca buku tersebut dan perasaan sama memang telah lama diwujud dalam hati kami. Iaitu ketaatan dan taat setia yang diberikan ahli-ahli PAS pada waktu itu adalah bermula dari dasar mereka yang jelas.

Kami mengakui dan kita semua mengakui ahli-ahli PAS pada waktu itu sangat komited dan bersungguh dengan parti mereka berbanding dengan parti UMNO pada waktu itu. Dan kami mengkaji sedikit sebanyak tentang mereka untuk mencari dimana datangnya kekuatan yang menjadikan mereka bersatu hati dan mentaati pemimpin mereka. Waktu itu aku mengkagumi PAS kerana dapat membina kekuatan kesatuan mereka dan ketetapan mereka pada parti mereka walaupun bilangan kerusi yang dimenangi pada pilihanraya hanya sedikt.

  
Al hasil, aku mengetahui bahawa semuanya itu datang dari sistem perkaderan dan pentarbiyahan mereka yang mantap serta bermula dari usia kecil anak-anak mereka lagi. Mereka membentuk keagungan parti mereka(walau kalah pilihanraya) dengan menyusun batu-bata (ahli) untuk dijadikan tapak dengan penuh teratur sebelum disimen dengan sistem tarbiyah yang kemas dan teliti.


Justeru kami membentuk resolusi yang sama, dalam perbincangan politik semasa yang agak kerap kami lakukan ketika itu. Masakan tidak, bahang pilihanraya 2008 masih panas dirasakan waktu itu. Resolusi kami adalah , andai kita berada ditampuk pemerintahan UMNO kelak pastikan kita wujudkan satu sistem perkaderan yang sistematik dan mampu membentuk jiwa pemuda yang utuh sebagai pelapis kepimpinan Negara dimasa hadapan.

Kami ada satu kesatuan kefahaman iaitu ingin melihat agama dan bangsa kami mantap dari segi spiritualnya kerana itulah asas wujudnya kesatuan dalam sesuatu organisasi. Kita sering mendengar orang berkata, “benih yang baik apabila dicampak kelaut akan menjadi pulau”. Itulah apa yang dihajatkan oleh kami. Membentuk ummah sebelum membentuk Negara. Kembali berpegang pada Al-Quran dan Al-Hadis.


Pada hari ini kita melihat usaha yang amat baik telah dicadangkan untuk membawa pembaharuan dalam parti UMNO. Untuk meremajakan semula parti yang sudah menjangkau umur bersara ini. Aku amat menyokong idea yang ingin dilaksanakan ini. Apabila mengetahui akan perkara diatas, aku meletakkan satu harapan yang tinggi pada pemimpin veteran ini.

Semoga usaha ini dapat dilaksanakan agar hati anak muda bermula dengan pendidikan mengenal agama dahulu sebelum kereka dikenalkan dengan konsert atau perkara lain. Pelaksanaannya perlukan sistem, kaedah, komitmen yang berterusan dan istiqamah dari semua pihak. Pendetailannya perlu bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah serta mengikut manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fikrah yang ingin ditanamkan perlulah fikrah Islam yang sebenar tanpa sebarang suntikan dari pandangan liberalisme, komunisme, kapitalisme, sosialisme, hatta wahabiyyah dan syi’iyah sekalipun.



Perlu diingat tarbiyah yang sebenar hanya dari Allah. Kita manusia sekadar mencari titk-titik dari tarbiyah Allah Taala. Sesungguhnya hati manusia itu berada dalam genggaman Allah dan Allah sahaja yang mampu membolak-balikkan hati kita. Maka berdoalah kepada Allah semoga Allah membuka hati-hati manusia serta hati kita sendiri untuk mendekatkan diri dengan agamaNya.


يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوب ... ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِيْنِكَ
“Duhai Zat Yang berkuasa membolak-balik hati, teguhkanlah hatiku pada kelurusan agama-Mu..