Wednesday 3 December 2014

KRONOLOGI PILIHANRAYA KAMPUS UITM (sisi pandang pemerhati jalanan)


27 NOVEMBER 2014 (sehari sebelum pembubaran MPP 2013/2014)


Tersebar gambar dan berita berkaitan mesyuarat jawatankuasa pelaksana(JK Pelaksana) pilihanraya kampus(PRK) UiTM yang diambil sekitar kampus induk Shah Alam






Berjuta persoalan timbul kerana jadual berkaitan PRK UiTM belum dikeluarkan, tarikh pembubaran Majlis (MPP) sesi 2013/2014 dan tarikh pilihanraya kampus juga masih dirahsiakan. Dalam masa sama pihak HEP telah menyusun JK Pelaksana PRK.

Di laman sosial seperti facebook dan whatsapp, tarikh PRK rancak dibincangkan. Pelbagai andaian, spekulasi dan konspirasi mewarnai perbincangan tersebut.

Tweet dari Yang Di-Pertua (YDP) menambahkan lagi bahang kontroversi PRK. Katanya “PRK dah mula disusun carta alirnya. So, kita tunggu”. Tweet tersebut seakan mengajak mahasiswa untuk bersedia menghadapi PRK yang semakin menghampir.



28 NOVEMBER 2014


PEMBUBARAN MPP UITM sesi 2013/2014                           


Pembubaran yang sangat mengejutkan dan tidak disangka-sangka. Sebelumnya ada yang menjangkakan pembubaran pasti berlaku dalam masa terdekat berdasarkan tweet YDP,namun sehari selepas tweet tersebut adalah sesuatu yang sangat mengejutkan semua pihak.

Saudara abang hafizie (secara rasminya sebagai mantan YDP MPP) bergambar dengan surat pembubaran MPP yang ditandatangan oleh Naib Canselor UiTM Tan Sri Sahol Hamid bin Abu Bakar.


Ucapan tahniah, takziah dan terima kasih kepada mantan MPP bercambah seperti cendawan tumbu selepas hujan di laman social.

Ucapan balas oleh beberapa orang mantan MPP menambah kesayuan hari Jumaat yang mulia. Namun terdapat juga MPP yang sampaikan ke hari ini masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan hatta ucapan semudah “terima kasih” sekalipun kepada mahasiswa yang pernah menyokong dan bekerja dengan mereka. Kami bukan inginkan pujian tetapi ucapan tersebut sekurang-kurangnya dapat mengikat hati kita biarpun kalian sudah tidak lagi bergelar MPP.

KHABAR ANGIN mengatakan bakal calon MPP berada di kem PLKN Kerling (kesahihan tidak dapat dipastikan).

PELANCARAN PESTA DEMOKRASI oleh sebahagian mahasiswa di laman sosial yang di gerakkan oleh Gabungan Mahasiswa Merdeka (GMM).

Tuntutanya agar PRK UiTM dijalankan secara bersih, telus dan adil tanpa ada campur tangan dari “tangan-tangan ghaib”.

Kempen #prkBersih yang dijalankan adalah pertamanya mengajak mahasiswa untuk cakna keadaan politik dan isu semasa di kampus. Keduanya mereka mengajak mahasiswa untuk menukar “profile picture” (DP) facebook dan whatsapp mereka kepada DP #prkBersih. Motifnya adalah atas tanda kesedaran, cakna dan mahukan perubahan kearah mewujudkan suasana PRK yang lebih baik, meriah, bersih, mengamalkan lunas-lunas demokrasi dan ketelusan.





Mereka menafikan tuduhan bahawa kempen yang dijalankan adalah atas dasar tentangan terhadap HEP.

Berita pembubaran MPP tidak begitu meluas dan tidak juga mendapat tempat dihati mahasiswa. Hanya mereka yang cakna dengan politik kampus serta isu semasa sahaja yang mengetahui apa yang sedang berlaku di UiTM. Sebahagian besar mahasiswa lain masih terkebelakang dalam hal ini. Sama ada mereka tidak merasakan MPP itu adalah suara mereka ataupun mereka merasakan politik itu kotor atau ada apa-apa alasan lain tidak dapat dipastikan.



29 NOVEMBER 2014


PELANCARAN DP #prkBersih untuk alumni. Pelancarannya bagi mengajak alumni turut sama menyokong tuntutan mereka.



TARIKH PENTING PRK. Seawal jam 7 pagi tarikh penting PRK UiTM telah dikeluarkan. GMM yang mula-mula mengeluarkan tarikh ini biarpun waktu pejabat belum bermula.

Masih tiada berita lagi dari beberapa page dan group facebook yang dikatakan sebelum ini mendepani isu semasa di UiTM. Antaranya adalah page UiTM dihatiku, UiTM Insider, Siswa4U, Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam, Gabungan Makasiswa UiTM Se-Malaysia (GAMUS), Papan Kenyataan UiTM (PAKU) dan lain-lain.



30 NOVEMBER 2014


PENDEDAHAN. “Setelah mengikuti kem keramat BTN yang tidak diketahui umum, calon akan dikuarantin di dalam sebuah bangunan di Intekma setiap malam. Disini calon akan diberitahu apa yang perlu dibuat untuk langkah seterusnya dan brainwash juga dilakukan kepada calon” mantan MPP-sumber GMM. Katanya berlaku pembulian ke atas mental para calon MPP sebelum mereka bertanding.

KEMENANGAN TANPA BERTANDING. Persoalan yang timbul seterusnya adalah berkaitan kemenangan tanpa bertanding ketika pemilihan pada sesi 2013/2014 yang lalu. Pada sesi lalu hampir sebahagian besar fakulti calonnya menang tanpa penentangan dan tanpa pengundian. Adakah peristiwa ini akan berulang kembali?

Mantan MPP2013/2014 pertama menukar DP #prkBersih.


Masih ramai lagi mahasiswa yang masih tidak cakna serta tidak sedar berkaitan proses demokrasi kampus yang sudah bermula walaupun 3 banner besar telah dipasang ditempat strategic di sekitar kampus Shah Alam. Apa yang sangat menyedihkan ada yang menyangkakan PRK adalah Majlis Konvokesyen yang sedang berlangsung.

Kampus cawangan turut menghadapi masalah yang sama. MAHASISWA TIDAK CAKNA.



1 DISEMBER 2014


HARI PENGAMBILAN BORANG PENCALONAN. Di Shah alam, borang boleh diambil di kaunter setempat, di Bangunan Budisiswa.



Mahasiswa yang layak walaupun tidak pernah menyertai kem yang dianjurkan HEP turut digalakkan untuk mengambil borang pencalonan agar dapat memberikan sedikit saingan kepada calon yang dipilih HEP.

KEDAH. Ura-ura di Kedah mengatakan banyak prosedur dan agak melecehkan. Lebih memeningkan prosedur tersebut sengaja tidak diwar-warkan agar calon bukan pilihan tidak terlibat dalam PRK kali ini.-sumber dari member kat Kedah nuuu.

INDUK. Namun tiada sebarang masalah yang berlaku di kampus induk di Shah Alam. Ramai yang telah mengambil boring pencalonan. Tiada apa-apa halangan samada dari MPP, mahasiswa, polis bantuan atau pihak pengurusan sekalipun.



PENDEDAHAN daripada seorang mahasiswa kampus Shah Alam berkaitan mantan YDP serta rakan-rakan MPP yang lain menjadi kuli memasang banner PRK pada hari Jumaat yang lalu. Petikandisertakan dengan gambar dari sang pencerita. Dia menekankan bahwa tidak sepatutnya MPP diperlakukan sebegitu dan mempertikaikan peranan JK Pelaksana PRK yang ditubuhkan.



FORUM. Timbul idea untuk mempertemukan HEP, mantan MPP dan mahasiswa(diwakili GMM) dalam satu ruang diskusi moden iaitu forum. Sama-sama kita nantikan,adakah akan dijalankan atau sekadar dibiarkan pergi seperti angina lalu yang menghembus di musim tengkujuh.

UNIVERSITY NEWS CAPITAL. Page ini buat pertamakalinya menyiarkan maklumat dan artikel berkenaan PRK UiTM walaupun pengasasnya adalah mahasiswa UiTM. Artikel tersebut turut dikongsi page Middle Voice dan Siswa4U.

ISU-ISU YANG DIBANGKITKAN. Masa berkempen yang dikatakan tidak relevan. Masa berkempen selama 4 hari bermula hari Khamis sehingga ke hari Ahad (11.59 malam). Waktu ini sangatlah singkat dan pada hari Sabtu dan Ahad sudah tentu tiada pelajar yang berada di fakulti.



2 NOVEMBER 2014


KENYATAAN MEDIA MANTAN YDP MPP 2013/2014 UiTM SHAH ALAM. Abang Hafizie mengeluarkan kenyataan rasminya yang pertama setelah 3 hari menjadi “ silence reader” dan mendiamkan diri dari menjawab persoalan yang ditagih dari beliau. Beliau juga turut bersembang dan membalas komen mahasiswa di kenyataan yang dikeluarkanya di facebook.



Intipati kenyataan tersebut berkaitan perjalanan proses PRK, bermula dari pembubaran MPP sehinggalah ke proses pengumuman kemenangan calon yang dijangka akan diadakan di Pusat Sukan nanti. Beliau juga mengajak calon yang bertanding menimba engalaman yang terhidang dan menjalani proses demokrasi kampus ini dengan matang. Semangat UiTM dihatiku ditekankan beliau. Beliau juga berdoa agar proses pemilihan ini dijalankan dengan lancar tanpa ada perkara yang akan merosakkan dan menjejaskan nama baik UiTM..





#kenyataan ini ditulis berdasarkan fakta dan maklumat yang diperolehi sehingga jam 11.59 malam, 2 November 2014. Rujukan penulisan kronologi ini adalah berdasarkan maklumat yang diterima dari media social dan penceritaan dari rakan-rakan. Sebarang kesalahan saya mohon diperbetulkan di ruangan komen yang disediakan. Saya ingin meminta maaf kerana tidak dapat menyelitkan link terus kepada sumber maklumat yang diperolehi dalam kronologi ini, namun di bawah ini saya sertakan beberapa link maklumat tersebut. Saya juga ingin meminta maaf sekiranya ada tulisan yang tidak tepat, seakan berpihak sebelah pihak, menguris mana-mana hati dan perasaan pembaca sekalian.


#buat akhirnya, kronologi ini di kumpul atas dasar ingin memperbanyakkan bahan bacaan dan berkongsi maklumat kepada mahasiswa terutamanya mahasiswa UiTM. Semoga PRK kali ini berjalan dengan baik tanpa sebarang perkara yang tidak diingini. Banyak yang ingin diulas, tapi memandangkan saya juga mahasiswa, keutamaan masa saya adalah untuk belajar dan penulisan ini sekadar hobi sahaja. Saya menyokong #prkBersih. Mahasiwa cakna.