Monday 13 May 2013

KEMBARA: TASIK BIRU KUNDANG


Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah, baru balik dari camping Kembara. Macam-macam perasaan bercampur-baur. Best, penat, seronok, rindu, letih, mengantuk, suka, sedih, gembira, sayang, bengang, terkilan, dan macam-macam lagi. Memang macam tu lah perasaannya. Seronok apabila terkenang benda-benda seronok dan tak seronok bila terkenang benda-benda tak seronok. Belit-belit aku tulis. Tapi semua tu sudah menjadi sejarah dan kenangan kita. Kita tak mampu nak ubah lagi. Apa yang kita mampu ubah adalah masa depan kita. Kita yang mencorak kehidupan kita di hari mendatang. Samada mahu sekadar seronok di dunia sahaja atau pun mahu seronok di dunia dan juga seronok di akhirat. Dan yang paling penting kita perlu mengambil pengajaran serta teladan daripada setiap apa yang kita lalui.

Setiap apa yang kita hadapi dan lalui di dunia ini ada hikmahnya. Teringat kisah yang diceritakan oleh syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki minggu lepas di surau seksyen 7.  Kisah seorang penasihat Sultan yang selalu berkata “ada hikmahnya tuan” apabila menasihati rajanya. Insya-Allah jika ada kesempatan akan dinukilkan dalam blog ini untuk kita bersama mengambil iktibar daripada apa yang Allah telah tetapkan untuk hambaNya.

Begitu juga perkemahan ni. Banyak yang dapat aku pelajari. Dimulakan dengan rakan-rakan kumpulan yang menyeronokkan Sam, Nurul Ain, Amirah Sabrina, Farhah, Ayusha, Hafiz, Syamira, Zulaikha, Gie, dan 2 lagi sahabat wanita yang aku kurang mengingati namanya. 12 orang semuanya. Dengan nama kumpulan Varnish, pink menjadi pilihan kesatuan kami. Pengenalan dengan mereka semua amat menyeronokkan bagi seorang budak lelaki yang kurang berkomunikasi terutama dengan wanita seperti aku. Serius, aku memang tak pandai berhubung dengan wanita. Mungkin apa yang aku dapat disini, ialah perbaiki hubungan kita sesama manusia. Tidak kira lelaki atau wanita, hubungan sesama saudara Muslim itu perlu ada dalam diri.

Survival mode kat camping ni paling memberi makna sekali. Memang dah biasa pergi kem, tapi ni first time alami pengalaman macam ni. Camp site di tengah-tengah Tasik Biru Kundang. Pulau. Jalan nak pergi hanya menaiki bot, kayak, atau berenang. Memang best giler. Next, tandas kat sini adalah tandas terbaik yang aku pernah jumpa. Boleh kasi 5++ bintanglah. Hahaha. Tandas buatan sendiri. Design yang sangat menarik. Tanah digali dalam 1 setengah kaki, atasnya ada batang kayu yang disusun untuk di jadikan tempat memijak, 4 kayu dipancang di 4 penjuru, dan akhir sekali ditutup dengan kain disekeliling dan atas nya. Hari pertama ok lagi, hari kedua masuk, kepala boleh pening kalau duduk lama-lama dalam tandas tu.

Aktiviti utama kayaking. Memang tu lah objektif kami pergi kem ni. Nak belajar berkayak. Nampak simple, kayuh je lah. Tapi bila dah mengayuh, penat dan lenguh tangan. Kalau gunakan cara dan penggunaan pedal yang betul, tenaga yang keluar boleh dijimatkan. Ye lah. Kata survival mode. Tenaga pun kena jimat. Seharian belajar, Alhamdulillah test hari ahad dapat dijalankan dengan jayanya. Betul tak betul tu belakang cerita. Asalkan dapat buat.

Last but not list, air “adik-beradik”. Adik-beradik lah sangat. Sekali rasa memang nak lagi. Tak kan dapat dilupakan. Satu platun dapat segelas cawan. Kena pastikan semua rasa dan habiskan. Kebaikan air ni dapat melawaskan sistem pencernaan dan memudahkan pembuangan sisa dari badan.Balik bilik, tandas menjadi destinasi utama. Nikmat. Tu sahaja yang dapat digambarkan.

Banyak ibrah dan iktibar yang dapat dicungkil:
1. bekerja dalam kumpulan
2. banyakkan bersabar
3. hargai makanan yang kita ada,jangan membazir
4. hargai rakan
5. setiap benda ada adatnya. Hormati adat mereka selagi mana tidak bertentangan syarak
6. ilmu memerlukan praktikal
7. hargai masa
8. jaga solat tak kira dimana kita berada
9. jaga hubungan dengan manusia
10. hargai nikmat yang Allah beri,sekejap sahaja Allah boleh tarik

Banyak lagi. Kalau kita positif tentu kita dapat memikirkan sendiri. Tapi kalau kita merasa negatif, kita takkan nampak kesan dan pengajarannya.  kita hanya nampak keburukan dan penyiksaan yang dihadapi(macam teruk je). Seperti kata Tuan Ibrahim Tuan Man “ingatlah bintang tidak dapat bersinar tanpa kegelapan. Begitu juga sinaran bulan mengambang tidak dapat dihayati di waktu siang. Pengajaran Allah ada dimana-mana.”


“sekali kembara,selamanya kembara”

Isnin,
13 Mei 2013
10.24 pm

No comments:

Post a Comment