Wednesday 3 December 2014

KRONOLOGI PILIHANRAYA KAMPUS UITM (sisi pandang pemerhati jalanan)


27 NOVEMBER 2014 (sehari sebelum pembubaran MPP 2013/2014)


Tersebar gambar dan berita berkaitan mesyuarat jawatankuasa pelaksana(JK Pelaksana) pilihanraya kampus(PRK) UiTM yang diambil sekitar kampus induk Shah Alam






Berjuta persoalan timbul kerana jadual berkaitan PRK UiTM belum dikeluarkan, tarikh pembubaran Majlis (MPP) sesi 2013/2014 dan tarikh pilihanraya kampus juga masih dirahsiakan. Dalam masa sama pihak HEP telah menyusun JK Pelaksana PRK.

Di laman sosial seperti facebook dan whatsapp, tarikh PRK rancak dibincangkan. Pelbagai andaian, spekulasi dan konspirasi mewarnai perbincangan tersebut.

Tweet dari Yang Di-Pertua (YDP) menambahkan lagi bahang kontroversi PRK. Katanya “PRK dah mula disusun carta alirnya. So, kita tunggu”. Tweet tersebut seakan mengajak mahasiswa untuk bersedia menghadapi PRK yang semakin menghampir.



28 NOVEMBER 2014


PEMBUBARAN MPP UITM sesi 2013/2014                           


Pembubaran yang sangat mengejutkan dan tidak disangka-sangka. Sebelumnya ada yang menjangkakan pembubaran pasti berlaku dalam masa terdekat berdasarkan tweet YDP,namun sehari selepas tweet tersebut adalah sesuatu yang sangat mengejutkan semua pihak.

Saudara abang hafizie (secara rasminya sebagai mantan YDP MPP) bergambar dengan surat pembubaran MPP yang ditandatangan oleh Naib Canselor UiTM Tan Sri Sahol Hamid bin Abu Bakar.


Ucapan tahniah, takziah dan terima kasih kepada mantan MPP bercambah seperti cendawan tumbu selepas hujan di laman social.

Ucapan balas oleh beberapa orang mantan MPP menambah kesayuan hari Jumaat yang mulia. Namun terdapat juga MPP yang sampaikan ke hari ini masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan hatta ucapan semudah “terima kasih” sekalipun kepada mahasiswa yang pernah menyokong dan bekerja dengan mereka. Kami bukan inginkan pujian tetapi ucapan tersebut sekurang-kurangnya dapat mengikat hati kita biarpun kalian sudah tidak lagi bergelar MPP.

KHABAR ANGIN mengatakan bakal calon MPP berada di kem PLKN Kerling (kesahihan tidak dapat dipastikan).

PELANCARAN PESTA DEMOKRASI oleh sebahagian mahasiswa di laman sosial yang di gerakkan oleh Gabungan Mahasiswa Merdeka (GMM).

Tuntutanya agar PRK UiTM dijalankan secara bersih, telus dan adil tanpa ada campur tangan dari “tangan-tangan ghaib”.

Kempen #prkBersih yang dijalankan adalah pertamanya mengajak mahasiswa untuk cakna keadaan politik dan isu semasa di kampus. Keduanya mereka mengajak mahasiswa untuk menukar “profile picture” (DP) facebook dan whatsapp mereka kepada DP #prkBersih. Motifnya adalah atas tanda kesedaran, cakna dan mahukan perubahan kearah mewujudkan suasana PRK yang lebih baik, meriah, bersih, mengamalkan lunas-lunas demokrasi dan ketelusan.





Mereka menafikan tuduhan bahawa kempen yang dijalankan adalah atas dasar tentangan terhadap HEP.

Berita pembubaran MPP tidak begitu meluas dan tidak juga mendapat tempat dihati mahasiswa. Hanya mereka yang cakna dengan politik kampus serta isu semasa sahaja yang mengetahui apa yang sedang berlaku di UiTM. Sebahagian besar mahasiswa lain masih terkebelakang dalam hal ini. Sama ada mereka tidak merasakan MPP itu adalah suara mereka ataupun mereka merasakan politik itu kotor atau ada apa-apa alasan lain tidak dapat dipastikan.



29 NOVEMBER 2014


PELANCARAN DP #prkBersih untuk alumni. Pelancarannya bagi mengajak alumni turut sama menyokong tuntutan mereka.



TARIKH PENTING PRK. Seawal jam 7 pagi tarikh penting PRK UiTM telah dikeluarkan. GMM yang mula-mula mengeluarkan tarikh ini biarpun waktu pejabat belum bermula.

Masih tiada berita lagi dari beberapa page dan group facebook yang dikatakan sebelum ini mendepani isu semasa di UiTM. Antaranya adalah page UiTM dihatiku, UiTM Insider, Siswa4U, Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam, Gabungan Makasiswa UiTM Se-Malaysia (GAMUS), Papan Kenyataan UiTM (PAKU) dan lain-lain.



30 NOVEMBER 2014


PENDEDAHAN. “Setelah mengikuti kem keramat BTN yang tidak diketahui umum, calon akan dikuarantin di dalam sebuah bangunan di Intekma setiap malam. Disini calon akan diberitahu apa yang perlu dibuat untuk langkah seterusnya dan brainwash juga dilakukan kepada calon” mantan MPP-sumber GMM. Katanya berlaku pembulian ke atas mental para calon MPP sebelum mereka bertanding.

KEMENANGAN TANPA BERTANDING. Persoalan yang timbul seterusnya adalah berkaitan kemenangan tanpa bertanding ketika pemilihan pada sesi 2013/2014 yang lalu. Pada sesi lalu hampir sebahagian besar fakulti calonnya menang tanpa penentangan dan tanpa pengundian. Adakah peristiwa ini akan berulang kembali?

Mantan MPP2013/2014 pertama menukar DP #prkBersih.


Masih ramai lagi mahasiswa yang masih tidak cakna serta tidak sedar berkaitan proses demokrasi kampus yang sudah bermula walaupun 3 banner besar telah dipasang ditempat strategic di sekitar kampus Shah Alam. Apa yang sangat menyedihkan ada yang menyangkakan PRK adalah Majlis Konvokesyen yang sedang berlangsung.

Kampus cawangan turut menghadapi masalah yang sama. MAHASISWA TIDAK CAKNA.



1 DISEMBER 2014


HARI PENGAMBILAN BORANG PENCALONAN. Di Shah alam, borang boleh diambil di kaunter setempat, di Bangunan Budisiswa.



Mahasiswa yang layak walaupun tidak pernah menyertai kem yang dianjurkan HEP turut digalakkan untuk mengambil borang pencalonan agar dapat memberikan sedikit saingan kepada calon yang dipilih HEP.

KEDAH. Ura-ura di Kedah mengatakan banyak prosedur dan agak melecehkan. Lebih memeningkan prosedur tersebut sengaja tidak diwar-warkan agar calon bukan pilihan tidak terlibat dalam PRK kali ini.-sumber dari member kat Kedah nuuu.

INDUK. Namun tiada sebarang masalah yang berlaku di kampus induk di Shah Alam. Ramai yang telah mengambil boring pencalonan. Tiada apa-apa halangan samada dari MPP, mahasiswa, polis bantuan atau pihak pengurusan sekalipun.



PENDEDAHAN daripada seorang mahasiswa kampus Shah Alam berkaitan mantan YDP serta rakan-rakan MPP yang lain menjadi kuli memasang banner PRK pada hari Jumaat yang lalu. Petikandisertakan dengan gambar dari sang pencerita. Dia menekankan bahwa tidak sepatutnya MPP diperlakukan sebegitu dan mempertikaikan peranan JK Pelaksana PRK yang ditubuhkan.



FORUM. Timbul idea untuk mempertemukan HEP, mantan MPP dan mahasiswa(diwakili GMM) dalam satu ruang diskusi moden iaitu forum. Sama-sama kita nantikan,adakah akan dijalankan atau sekadar dibiarkan pergi seperti angina lalu yang menghembus di musim tengkujuh.

UNIVERSITY NEWS CAPITAL. Page ini buat pertamakalinya menyiarkan maklumat dan artikel berkenaan PRK UiTM walaupun pengasasnya adalah mahasiswa UiTM. Artikel tersebut turut dikongsi page Middle Voice dan Siswa4U.

ISU-ISU YANG DIBANGKITKAN. Masa berkempen yang dikatakan tidak relevan. Masa berkempen selama 4 hari bermula hari Khamis sehingga ke hari Ahad (11.59 malam). Waktu ini sangatlah singkat dan pada hari Sabtu dan Ahad sudah tentu tiada pelajar yang berada di fakulti.



2 NOVEMBER 2014


KENYATAAN MEDIA MANTAN YDP MPP 2013/2014 UiTM SHAH ALAM. Abang Hafizie mengeluarkan kenyataan rasminya yang pertama setelah 3 hari menjadi “ silence reader” dan mendiamkan diri dari menjawab persoalan yang ditagih dari beliau. Beliau juga turut bersembang dan membalas komen mahasiswa di kenyataan yang dikeluarkanya di facebook.



Intipati kenyataan tersebut berkaitan perjalanan proses PRK, bermula dari pembubaran MPP sehinggalah ke proses pengumuman kemenangan calon yang dijangka akan diadakan di Pusat Sukan nanti. Beliau juga mengajak calon yang bertanding menimba engalaman yang terhidang dan menjalani proses demokrasi kampus ini dengan matang. Semangat UiTM dihatiku ditekankan beliau. Beliau juga berdoa agar proses pemilihan ini dijalankan dengan lancar tanpa ada perkara yang akan merosakkan dan menjejaskan nama baik UiTM..





#kenyataan ini ditulis berdasarkan fakta dan maklumat yang diperolehi sehingga jam 11.59 malam, 2 November 2014. Rujukan penulisan kronologi ini adalah berdasarkan maklumat yang diterima dari media social dan penceritaan dari rakan-rakan. Sebarang kesalahan saya mohon diperbetulkan di ruangan komen yang disediakan. Saya ingin meminta maaf kerana tidak dapat menyelitkan link terus kepada sumber maklumat yang diperolehi dalam kronologi ini, namun di bawah ini saya sertakan beberapa link maklumat tersebut. Saya juga ingin meminta maaf sekiranya ada tulisan yang tidak tepat, seakan berpihak sebelah pihak, menguris mana-mana hati dan perasaan pembaca sekalian.


#buat akhirnya, kronologi ini di kumpul atas dasar ingin memperbanyakkan bahan bacaan dan berkongsi maklumat kepada mahasiswa terutamanya mahasiswa UiTM. Semoga PRK kali ini berjalan dengan baik tanpa sebarang perkara yang tidak diingini. Banyak yang ingin diulas, tapi memandangkan saya juga mahasiswa, keutamaan masa saya adalah untuk belajar dan penulisan ini sekadar hobi sahaja. Saya menyokong #prkBersih. Mahasiwa cakna.


Wednesday 26 November 2014

Modul Pengkaderan dan Pentarbiyahan UMNO : Satu Pengharapan



Tujuh langkah pembaharuan perlu dilaksanakan UMNO dengan segera termasuk mewujudkan modul pengkaderan dan pentarbiyahan tersusun bagi melengkapkan perubahan serta peremajaan UMNO sebagai parti harapan orang muda pada masa depan, kata Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, langkah itu mampu melahirkan lebih ramai pemimpin muda UMNO yang bijak, petah dan tangkas berhujah serta teguh daya rohaninya bagi menjadikan mereka sebagai kumpulan pemikir muda di dalam UMNO.


Sangat menarik apa yang dicadang dan dicanangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia ini. Sesungguhnya untuk melahirkan seorang yang kuat dan mantap dari segi kepimpinan ia perlu bermula dari kekuatan rohani atau spiritual. Perlu kepada asas yang kukuh. Kita boleh analogikan seperti kita ingn membina bangunan pencakar langit. Asas dan tapaknya perlu kukuh dan padu supaya mana apabila bangunan itu dapat mencecah awan ia mampu teguh berdiri dan tidak tumbang walau ditiup angin yang kuat, walau digegar bumi dek gempa, walau disimpan beribu manusia di dalamnya. Bangunan itu akan kekal berdiri sehingga takdirnya mencecah bumi.



Sewaktu di sekolah menengah dahulu pernah berlaku perbincangan antara aku dan sahabat baik aku. Kami berbincang bagaimana untuk kita menguatkan parti UMNO yang kami dokong sewaktu itu. Sewaktu itu kami masih lagi bukan ahli UMNO tapi atas dasar sayangkan bangsa dan agama, kami berdiri bersebelahan dengan parti keramat orang melayu ini.

 Kami bukan pelajar biasa, kerana matlamat kami bukan sekadar memperoleh sijil semata-mata tapi kami mempunyai hasrat yang satu pada waktu itu iaitu ingin melihat Islam menang dan sistem Islam diimplimentasikan di dalam pentadbiran Negara yang tercinta. Dalam masa yang sama kami ingin memastikan bangsa kami iaitu Melayu terus kekal dengan identiti Melayunya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Dalam Perlembagaan Persekutuan di dalam perkara 160 telah mendefinasikan orang Melayu sebagai seseorang yang menganuti agama islam, bertutur dalam bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu serta lahir sebelum hari merdeka di Persekutuan atau di Singapura atau ibubapa telah lahir di Persekutuan atau di Singapura pada hari merdeka dan menetap di Persekutuan dan di Singapura atau ia adalah keturunan seseorang tersebut.



Kami berhasrat agar identiti ini tidak hilang dari bangsa kami dalam kepesatan dan kerancakan ingin menegakkan keagungan Negara Malaysia itu dimata dunia. Justeru kami sering bersama dan membantu guru-guru kami sekiranya ada program pembentukan rohani atau pembentukan kendiri yang ingin dijalankan. Dari kami dibangku sekolah sehinggalah kami sudah menjadi alumni. Kami berasa bertanggungjawab untuk membentuk akhlak dan jatidiri adik-adik kami agar andai ada dari kalangan mereka yang memegang tampuk kuasa kelak, tidak lupa asalnya, tidak lupa kulitnya, dan tidak runtuh dek ditiup taufan yang menggila.

Suatu hari di sekolah aku terjumpa sebuah buku yang diterbitkan oleh lajnah perkaderan PAS(kalo tak silap). Atas dasar memang aku gila membaca, aku pun bacalah buku tu. Lebih-lebih lagi buku berkaitan politik semasa. Al maklumlah budak bahas kan. Satu kekaguman timbul selepas aku membaca buku tersebut dan perasaan sama memang telah lama diwujud dalam hati kami. Iaitu ketaatan dan taat setia yang diberikan ahli-ahli PAS pada waktu itu adalah bermula dari dasar mereka yang jelas.

Kami mengakui dan kita semua mengakui ahli-ahli PAS pada waktu itu sangat komited dan bersungguh dengan parti mereka berbanding dengan parti UMNO pada waktu itu. Dan kami mengkaji sedikit sebanyak tentang mereka untuk mencari dimana datangnya kekuatan yang menjadikan mereka bersatu hati dan mentaati pemimpin mereka. Waktu itu aku mengkagumi PAS kerana dapat membina kekuatan kesatuan mereka dan ketetapan mereka pada parti mereka walaupun bilangan kerusi yang dimenangi pada pilihanraya hanya sedikt.

  
Al hasil, aku mengetahui bahawa semuanya itu datang dari sistem perkaderan dan pentarbiyahan mereka yang mantap serta bermula dari usia kecil anak-anak mereka lagi. Mereka membentuk keagungan parti mereka(walau kalah pilihanraya) dengan menyusun batu-bata (ahli) untuk dijadikan tapak dengan penuh teratur sebelum disimen dengan sistem tarbiyah yang kemas dan teliti.


Justeru kami membentuk resolusi yang sama, dalam perbincangan politik semasa yang agak kerap kami lakukan ketika itu. Masakan tidak, bahang pilihanraya 2008 masih panas dirasakan waktu itu. Resolusi kami adalah , andai kita berada ditampuk pemerintahan UMNO kelak pastikan kita wujudkan satu sistem perkaderan yang sistematik dan mampu membentuk jiwa pemuda yang utuh sebagai pelapis kepimpinan Negara dimasa hadapan.

Kami ada satu kesatuan kefahaman iaitu ingin melihat agama dan bangsa kami mantap dari segi spiritualnya kerana itulah asas wujudnya kesatuan dalam sesuatu organisasi. Kita sering mendengar orang berkata, “benih yang baik apabila dicampak kelaut akan menjadi pulau”. Itulah apa yang dihajatkan oleh kami. Membentuk ummah sebelum membentuk Negara. Kembali berpegang pada Al-Quran dan Al-Hadis.


Pada hari ini kita melihat usaha yang amat baik telah dicadangkan untuk membawa pembaharuan dalam parti UMNO. Untuk meremajakan semula parti yang sudah menjangkau umur bersara ini. Aku amat menyokong idea yang ingin dilaksanakan ini. Apabila mengetahui akan perkara diatas, aku meletakkan satu harapan yang tinggi pada pemimpin veteran ini.

Semoga usaha ini dapat dilaksanakan agar hati anak muda bermula dengan pendidikan mengenal agama dahulu sebelum kereka dikenalkan dengan konsert atau perkara lain. Pelaksanaannya perlukan sistem, kaedah, komitmen yang berterusan dan istiqamah dari semua pihak. Pendetailannya perlu bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah serta mengikut manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fikrah yang ingin ditanamkan perlulah fikrah Islam yang sebenar tanpa sebarang suntikan dari pandangan liberalisme, komunisme, kapitalisme, sosialisme, hatta wahabiyyah dan syi’iyah sekalipun.



Perlu diingat tarbiyah yang sebenar hanya dari Allah. Kita manusia sekadar mencari titk-titik dari tarbiyah Allah Taala. Sesungguhnya hati manusia itu berada dalam genggaman Allah dan Allah sahaja yang mampu membolak-balikkan hati kita. Maka berdoalah kepada Allah semoga Allah membuka hati-hati manusia serta hati kita sendiri untuk mendekatkan diri dengan agamaNya.


يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوب ... ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِيْنِكَ
“Duhai Zat Yang berkuasa membolak-balik hati, teguhkanlah hatiku pada kelurusan agama-Mu..


Wednesday 24 September 2014

Coretan di pagi hari :-)


Bismillah walhamdulillah. Pagi ini sekali lagi Allah hidupkan kita dalam keadaan sihat, mampu melihat, mampu mendengar tanpa ada satu pun nikmat semalam yang Allah tarik dari kita. Sungguh Allah itu Maha pemurah terhadap sekalian hambaNya walaupun kita sering melakukan maksiat dan terkadang mengingkari arahanNya.

Bayangkan, bangun sahaja dari tidur yang lena tadi, Allah kurangkan sedikit nikmat yang diberikan kepada kita. Contoh mudah, apabila kita bangun dari tidur, kaki kita kekejangan atau kepala kita pening atau ada ulat masuk ke dalam telinga kita. Kita pasti merungut dan berduka. Itu baru nikmat kecil yang Allah ambil kembali setelah lama dipinjamkan kepada kita. Dan Allah akan memberikan sekali lagi kita meminjamnya setelah itu.

Jika Allah mengambil kembali nikmat-nikmatNya yang besar, dan tidak mengizinkan lagi kita meminjamnya pasti tidak tertanggung diri kita. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah (2:286) yang bermaksud,

“Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya….”

Allah menguji seseorang sesuai dengan kemampuan mereka. Dan ujian Allah itu adalah untuk meninggikan darjat seseorang itu. Dan Allah juga menguji kita pada tempat-tempat yang kita lemah agar kita menyedari kelemahan kita dan mempertingkatkan usaha untuk memperbaikinya.

Coretan dari seorang sahabat “ kita kadang mantap dari segi akhlaknya, sopan, dan cantik dilihat oleh manusia. Tapi Allah uji kita dengan nafsu kita. Mungkin di depan manusia kita nampak baik, namun di belakang manusia kita berada dalam kejahilan kerana nafsu menguasai diri. Maka ketahuilah disitu terletaknya titik kelemahan kita yang Allah ingin uji.”

Baru-baru ini sering kita melihat, di dada-dada akhbar, di media massa, kematian dan kecatatan yang dialami saudara kita di bumi Palestin. Namun demikian mereka mampu lagi meneruskan kehidupan dengan gembira sambil mengharapkan keredhaan dan rahmat dari Allah Taala. Tidak dapat dibayangkan andai kita berada di tempat mereka. Dengan sedikit luka akibat jatuh dari motor pun kita sudah tidak mampu bekerja dan cuti berhari-hari,inikan pula diuji seperti mereka. Dengan kematian kucing peliharaan kita pun kita berduka berhari-hari, inikan pula kehilangan keseluruhan ahli keluarga.


Kata seorang ustaz, “mereka diuji dengan kesempitan hidup, kita pula diuji dengan kemewahan hidup.” Mereka makan untuk hidup tapi kita hidup untuk makan. Begitulah perupamaannya. Kedua-duanya adalah ujian. Apa yang pasti, setiap hari kita akan diuji, cuma ujiannya tidak sama antara kita semua. Dan kekuatan yang ada untuk kita hadapi ujian tersebut datang dari Allah. Pohonlah kita kepada Allah, dalam kita diberikan ujian, moga Allah selitkan sekali kekuatan untuk kita mengharungi ujian tersebut.


“……….(Mereka berdoa): Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami salah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami apa yang tidak sanggup kami menanggungnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”-Al-Baqarah(2:286)





25 September 2014
Khamis
8.50 pagi

Wednesday 10 September 2014

Jom Berenang di Kolam Renang UiTM Shah Alam..


Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah kerana diizinkan Allah untuk meneruskan perjalanan hidup dimuka bumi ini. Kadang kita tak sedar bahawa hidup itu adalah satu nikmat daripada Allah Taala. Walaupun setiap hari kita melakukan dosa, kita berbuat maksiat, mengumpat orang, mendustakan nikmat Allah dengan tidak meyakini bahawa setiap yang berlaku adalah atas Rahmat dan kasih sayang Allah, namun Allah tetap beri kita kehidupan. Diberikan kita peluang sekali lagi untuk menghirup udara diatas dunia ini, diberi peluang untuk menyesali perbuatan yang kita lakukan dan diberi peluang untuk bertaubat kepadaNya.
Kata seorang sahabat, "kita hidup hari ini kerana Allah nak beri kesempatan kat kita untuk memohon keampunan daripadaNya."
Bangunan Fakulti Kejuruteraan


Hari ini hari pertama pergi ke kelas untuk semester ni setelah beberapa hari tak pergi kerana sakit mata. (Semoga sakit mata tu Allah jadikan asbab untuk menghapuskan dosa yang banyak dilakukan oleh mata ini.) Tapi yang tak bestnya kelas pagi tadi tak da. Tak best ke??? Tu soalan yang sangat subjektif kalau nak jawab. Haha. bahagian tak best sebab dah sampai kelas dan dah tunggu lama baru kelas batal. Selebihnya best lah sebab tak da kelas. Boleh rehat-rehat lagi.

Sedar tak sedar dah 2 tahun aku belajar kat UiTM. Dan tahun ni masuk tahun ketiga kat sini. Rasa sekejap je dah separuh pengajian aku lalui dan aku harap dapat teruskan baki semester yang akan datang dengan lebih jaya lagi.

Sebenarnya artikel ni ditulis untuk untuk satu tujuan iaitu mempromosikan berkaitan kolam renang UiTM. Tah macam mana tah boleh melencong kat tempat lain..haha..



Renang adalah salah satu daripada sukan-sukan sunnah selain memanah dan berkuda. Rasulullah SAW bersabda, “Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Jadi dikesempatan ini aku nak ajak semua yang mencari-cari sukan untuk beriadah pada masa lapang, bolehlah menjadikan sukan renang sebagai pilihan anda. 


Di UiTM juga tersedia kolam renang. Mungkin aku boleh ceritakan sedikit sebanyak tentang kolam renang kat sini. 


Jenis kolam : Tertutup (Indoor)
Kedalaman Kolam: 1.22m - 2.0m
Keluasan kolam : 50m x 23m (10 lane)
Bilik Mandi : 8 lelaki, 8 perempuan
Tandas : 3 lelaki, 3 perempuan
Locker - Disediakan percuma untuk sesi renang


Info-info lain boleh dapatkan kat blog kolam renang UiTM teruslah. Daripada aku copy yang ada kat blog tu baik lah korang pergi tengok sendiri apa yang ada kat situ.

http://kolamrenanguitm.blogspot.com/

Semester lepas selalu juga pergi berenang kat situ. Banyak kelebihannya. Antaranya setiap sesi hanya satu jantina sahaja dibenarkan. Jadi tiada masalah lah kalau perempuan nak mandi atau lelaki nak mandi kat kolam renang ni. Keduanya kolam renang ni free untuk pelajar UiTM. Kalau kat luar selalunya perlu bayaran kadang-kadang sampai RM6 sekali masuk. Membazir. Taknak elak membazir bolehlah datang berenang kat kolam ni.


Aku cerita, promosi benda ni macam aku pandai je berenang kan.. Sebenarnya aku pun bukan pandai berenang pun. Main kat tepi-tepi boleh lah. Aku baru je belajar. Belajar dengan kawan-kawan. Kalau tengok aku berenang pun boleh tahu aku ni tak reti berenang. haha. Aku selalu pergi dengan kawan aku budak law. Tapi sem ni dia dah abis belajar, jadi kena cari kawan lain lah yang suka berenang juga. 

Cukup rasanya aku bercerita, insya-Allah jika diizinkan Allah aku akan menulis lagi. Dan aku akan berusaha untuk tulis benda yang lebih bermanfaat untuk kehidupan kita yang sementara ini. 


Selamat memulakan sesi kuliah.
Selamat Berenang. 
Selamat Beriadah.



"Akal yang sihat hasil dari badan yang cergas"



11 September 2014
Khamis
12.14 tengah hari