Wednesday, 3 June 2015

KEPUTUSAN DPPM : MAHASISWA PEMERHATI

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Takbir bergema menghangatkan suasana dewan muktamar. Meraikan kepimpinan yang baru dilantik. Sesiapa sahaja yang dilantik pasti laungan takbir yang kekal menjadi laungan. Andai slogan ini bertukar, tiada kepastian lagi dasar yang akan dibawa bersamaan dengan kepimpinan sebelumnya.

Hari ini menyaksikan barisan pemuda yang baru telah menggantikan kepimpinan yang sedia ada. Dipilih dengan nada majoriti sepertimana pemilihan-pemilihan yang lalu.

Kita melihat kepimpinan yang lama telah membawa Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM)  ke satu daerah baru dalam lipatan sejarah politik negara. Mencorak dewan yang dipenuhi oleh golongan berdarah panas bukan mudah, namun saudara Suhaizan mampu meneruskan kepimpinannya dengan baik sepanjang tempoh 2 tahun beliau memegang jawatan tersebut. Legasi yang ditinggalkan tidak mungkin dapat dilupakan apatah lagi untuk dikesampingkan dalam mencorak DPPM di hari muka. Pembawakan dan kritis pemikiran beliau akan terus menjadi alunan suara anak muda yang menghargai perjuangan rakyat marhaen ini.

Kepimpinan baru melihatkan muka-muka yang agak berlainan berbanding kepimpinan sebelumnya. DPPM pada kali ini akan diterajui oleh YB Nik Abduh ,seorang ahli parlimen dan juga anak bekas Mursyidul Am. Pembawakan dan pemikiran beliau mungkin akan berbeza dari saudara Suhaizan, namun penerusan pemuda sebagai wadah mendekati rakyat bagi menyebarkan Islam pasti tidak akan diubah.

Cara dan strategi mungkin akan kelihatan berbeza. Ini sudah pasti kerana setiap pemimpin mempunyai kapasiti akal yang berbeza-beza antara satu sama lain. Justeru perbezaan itu tidak dapat tidak pasti akan kelihatan.

Bergerak terus kehadapan adalah harapan anak muda kepada DPPM. Pantang bagi anak muda untuk berundur semula ke belakang setelah DPPM dilihat berjaya melangkah jauh mendepani masyarakat, menjuarai pelbagai isu dan menunjukkan kewibawaan pada pihak musuh sert rakan sepakatan.

Menyentuh skrip drama 2 tahun sekali yang sengaja dimainkan , pertembungan professional dan pro ulama diputar kembali pada pemilihan pada kali ini. Mereka dilagakan antara satu sama lain. Sehingga terkadang menghina, menjatuh serta membunuh karekter sahabat seperjuangan mereka. Media memastikan permainan ini terus hangat dengan mengemukakan laporan dan berita yang tidak masuk akal dan berbeza dengan keadaan sebenar. Kenyataan-kenyataan pimpinan pemuda diputarbelitkan dan mengelirukan masyarakat yang membacanya.

Namun ramai yang tidak sedar kehadiran pengaruh kehancuran ini. Mereka lebih berminat mengikuti perkembangan semasa melalui orang tengah berbanding meneliti dengan sendiri apa yang sedang berlaku. Tidak mahu mendengar secara keseluruhan tapi mengambil rumusan dari pihak yang tidak tahu asal-usulnya. Tentu sahaja mereka mempunyai agenda tersendiri, mempunyai kepentingan peribadi, tapi kita tetap malas mengkaji dan akhirnya terperangkap dengan pemikiran kita sendiri seterusnya merosak dan memecah-belahkan parti.

Isu professional turut mengisi benak anak muda yang memerhati. Timbul desas-desus sana sini mengatakan pemuda telah mati. Memainkan sikap mahasiswa yang meneliti, aku mempunyai pandangan peribadi. Isu ini timbul apabila kita mempunyai kemampuan yang berbeza dari sudut mendefinisi perkataan itu sendiri.

Ramai orang melihat golongan professional adalah mereka yang memjawat jawatan dalam kerjaya yang berkredibiliti seperti doktor, peguam dan jurutera. Betul. Mereka memang profesional dalam bidang mereka. Tetapi bagi mengurus sebuah parti, definisi profesional ini tidak boleh diterima pakai dalam menilai kepimpinannya. Professional perlu didefinisikan dengan nafas baru agar lebih bertepatan dengan kondisi.

Professional bagi sesebuah kepimpinan parti adalah dengan meletakkan dasarnya di tempat yang tertinggi bukan berbangga mempertahankan strategi yang ditukar seringkali. Strategi boleh bertukar namun dasar tidak boleh diketepikan. Andai dasarnya sudah berubah, tiadalah lagi makna strategi yang menjadi tuhan bagi sesetengah manusia. Kata pepatah melayu, “Menang sorak, kampung tergadai”. Jika ini terjadi, hilanglah sudah makna gerakan itu sendiri.

Andai DPPM mahu dilihat gah seperti sejarah suatu masa dahulu, eloklah kiranya DPPM kembali memegang dengan erat dasar yang diperjuangkan. Menunaikan janji meletakkan Islam di tempat yang tertinggi. Sudah pasti akhirnya nanti, kesejahteraan yang diidamkan akan lebih dinikmati oleh setiap penyokong dan pemerhati parti ini.

Aku seorang mahasiswa, namun hati ini seperti ada  dengan DPPM. Harapan melangit diletakkan atas bahu kepimpinan baru ini. Semoga DPPM akan terus kekal relevan untuk pemuda terutama mahasiswa-mahasiswi. Terus melangkah, jangan terfikir untuk menyerah. Perjuangan ini masih jauh, moga iman kekal utuh. Dasar perlu diperkukuh agar keyakinan masyarakat tidak lagi runtuh.


TERUS MELANGKAH, JANGAN PERNAH LELAH

No comments:

Post a Comment