Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai
kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa
yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari
sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang
Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.
Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Takbir bergema menghangatkan suasana dewan muktamar. Meraikan
kepimpinan yang baru dilantik. Sesiapa sahaja yang dilantik pasti laungan
takbir yang kekal menjadi laungan. Andai slogan ini bertukar, tiada kepastian
lagi dasar yang akan dibawa bersamaan dengan kepimpinan sebelumnya.
Hari ini menyaksikan barisan pemuda yang baru telah menggantikan
kepimpinan yang sedia ada. Dipilih dengan nada majoriti sepertimana pemilihan-pemilihan
yang lalu.
Kita melihat kepimpinan yang lama telah membawa Dewan Pemuda
Pas Malaysia (DPPM) ke satu daerah baru
dalam lipatan sejarah politik negara. Mencorak dewan yang dipenuhi oleh
golongan berdarah panas bukan mudah, namun saudara Suhaizan mampu meneruskan
kepimpinannya dengan baik sepanjang tempoh 2 tahun beliau memegang jawatan
tersebut. Legasi yang ditinggalkan tidak mungkin dapat dilupakan apatah lagi
untuk dikesampingkan dalam mencorak DPPM di hari muka. Pembawakan dan kritis
pemikiran beliau akan terus menjadi alunan suara anak muda yang menghargai
perjuangan rakyat marhaen ini.
Kepimpinan baru melihatkan muka-muka yang agak berlainan
berbanding kepimpinan sebelumnya. DPPM pada kali ini akan diterajui oleh YB Nik
Abduh ,seorang ahli parlimen dan juga anak bekas Mursyidul Am. Pembawakan dan
pemikiran beliau mungkin akan berbeza dari saudara Suhaizan, namun penerusan
pemuda sebagai wadah mendekati rakyat bagi menyebarkan Islam pasti tidak akan
diubah.
Cara dan strategi mungkin akan kelihatan berbeza. Ini sudah
pasti kerana setiap pemimpin mempunyai kapasiti akal yang berbeza-beza antara
satu sama lain. Justeru perbezaan itu tidak dapat tidak pasti akan kelihatan.
Bergerak terus kehadapan adalah harapan anak muda kepada DPPM.
Pantang bagi anak muda untuk berundur semula ke belakang setelah DPPM dilihat berjaya
melangkah jauh mendepani masyarakat, menjuarai pelbagai isu dan menunjukkan
kewibawaan pada pihak musuh sert rakan sepakatan.
Menyentuh skrip drama 2 tahun sekali yang sengaja dimainkan ,
pertembungan professional dan pro ulama diputar kembali pada pemilihan pada
kali ini. Mereka dilagakan antara satu sama lain. Sehingga terkadang menghina,
menjatuh serta membunuh karekter sahabat seperjuangan mereka. Media memastikan
permainan ini terus hangat dengan mengemukakan laporan dan berita yang tidak
masuk akal dan berbeza dengan keadaan sebenar. Kenyataan-kenyataan pimpinan
pemuda diputarbelitkan dan mengelirukan masyarakat yang membacanya.
Namun ramai yang tidak sedar kehadiran pengaruh kehancuran
ini. Mereka lebih berminat mengikuti perkembangan semasa melalui orang tengah
berbanding meneliti dengan sendiri apa yang sedang berlaku. Tidak mahu
mendengar secara keseluruhan tapi mengambil rumusan dari pihak yang tidak tahu
asal-usulnya. Tentu sahaja mereka mempunyai agenda tersendiri, mempunyai
kepentingan peribadi, tapi kita tetap malas mengkaji dan akhirnya terperangkap
dengan pemikiran kita sendiri seterusnya merosak dan memecah-belahkan parti.
Isu professional turut mengisi benak anak muda yang
memerhati. Timbul desas-desus sana sini mengatakan pemuda telah mati. Memainkan
sikap mahasiswa yang meneliti, aku mempunyai pandangan peribadi. Isu ini timbul
apabila kita mempunyai kemampuan yang berbeza dari sudut mendefinisi perkataan
itu sendiri.
Ramai orang melihat golongan professional adalah mereka yang
memjawat jawatan dalam kerjaya yang berkredibiliti seperti doktor, peguam dan
jurutera. Betul. Mereka memang profesional dalam bidang mereka. Tetapi bagi mengurus
sebuah parti, definisi profesional ini tidak boleh diterima pakai dalam menilai
kepimpinannya. Professional perlu didefinisikan dengan nafas baru agar lebih
bertepatan dengan kondisi.
Professional bagi sesebuah kepimpinan parti adalah dengan
meletakkan dasarnya di tempat yang tertinggi bukan berbangga mempertahankan
strategi yang ditukar seringkali. Strategi boleh bertukar namun dasar tidak
boleh diketepikan. Andai dasarnya sudah berubah, tiadalah lagi makna strategi
yang menjadi tuhan bagi sesetengah manusia. Kata pepatah melayu, “Menang sorak,
kampung tergadai”. Jika ini terjadi, hilanglah sudah makna gerakan itu sendiri.
Andai DPPM mahu dilihat gah seperti sejarah suatu masa
dahulu, eloklah kiranya DPPM kembali memegang dengan erat dasar yang
diperjuangkan. Menunaikan janji meletakkan Islam di tempat yang tertinggi. Sudah
pasti akhirnya nanti, kesejahteraan yang diidamkan akan lebih dinikmati oleh
setiap penyokong dan pemerhati parti ini.
Aku seorang mahasiswa, namun hati ini seperti ada dengan DPPM. Harapan
melangit diletakkan atas bahu kepimpinan baru ini. Semoga DPPM akan terus kekal
relevan untuk pemuda terutama mahasiswa-mahasiswi. Terus melangkah, jangan
terfikir untuk menyerah. Perjuangan ini masih jauh, moga iman kekal utuh. Dasar
perlu diperkukuh agar keyakinan masyarakat tidak lagi runtuh.
TERUS MELANGKAH, JANGAN PERNAH LELAH