Monday, 1 July 2013

SEMOGA KITA BERTEMU KEMBALI

“Carilah sahabatyang dengan hanya melihatnya kita akan teringat kepada Allah.” 

Alhamdulillah dah sampai Shah Alam. 2 jam lebih perjalanan terasa begitu singkat. Perjalanan yang biasanya diharungi dengan lautan kebosanan bertukar menjadi satu perjalanan yang amat menarik dan menyeronokkan, seperti menyusuri sungai yang tenang airnya sambil menikmati keindahan alam di sekitarnya.

Takdir Allah menentukan pertemuan dua hati yang tiada langsung perkaitan melainkan Syahadah penyambung ukhwah. Berbeza Negara, berbeza keturunan, berbeza loghat perkataan, berbeza umur, berbeza status kehidupan [bila agaknya aku ingin bernikah,(^_^) ], berbeza perjalanan kehidupan tetapi diberi peluang oleh Allah untuk bertemu, berbual, bersembang dan juga berkongs sedikit ilmu diantara kami.

Nama yang menarik, Abdul Muin, seorang ahli farmasi, dari kota Makasar (tempat yang aku kenali melalui pembacaan sebuah buku hebat ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Vjik’, karya tokoh hebat, Buya Hamka J ). Seorang yang cukup biasa. Cara bertuturnya biasa-biasa, berpakaiannya biasa-biasa, namun mempunyai ilmu yang amat baik.

Berbicara dengan beliau umpama berborak dengan rakan yang sudah bertahun dikenali. Tiada rasa janggal, tiada rasa jarak diantara kami. Lembut tuturnya, santun budinya, halus bahasanya, mekar ilmunya.
Mulanya perbualan kami hanya berkisar latar belakang dan tempat kelahirannya. Kemudian memasuki fasa yang lebih menarik, lontaran ilmu dan pengalamannya ketika bermusafir di bumi Allah. Menceritakan pengalaman dan ibrah menaiki kapal terbang. Mungkin ramai yang sudah berkali-kali menaiki ‘belon’( aku belum pernah menaiki kapal terbang) , namun tidak ramai yang dibukakan hati untuk menghayati perjalanan mereka, tidak ramai yang dibukakan hatinya untuk menghayati kebesaran Allah. Apabila kita berada di awan biru, manusia dilihat kecil. Mengaplikasi ilmu semesta yang kita sudah pelajari sejak dari sekolah rendah , beliau menggambarkan bahawa kita ini sangat kerdil disisi Tuhan.

Pengajaran yang didapati, pertamanya kita ini sangat kerdil disisi Allah, kedua jangan kita sombong dan merasa diri sangat besar( mampu melakukan apa sahaja tanpa izin Allah), ketiganya jangan mengagungkan manusia (cukuplah sekadar menghargainya kerana kita adalah sama) dan yang terakhir, jangan kita terlalu merasakan kita ini kecil sehingga merendahkan diri tanpa alas an yang kukuh dihati.

Diteruskan dengan method mencari ilmu di Makasar. Nampak menarik dan hati ini rasa tertarik ingin bertalaqi ilmu disana(insya-Allah). berdepan guru-guru hebat, mengupas kitab-kitab masyhur. Medan cerita dan perkongsian seterusnya beralih kepada Siapa saya,Tujuan saya, Pedoman saya, Contoh saya. Siapa saya mengupas bahawa kita adalah hamba Allah Yang Maha Esa. Tujuan hidup saya adalah untuk beribadat kepada Allah.

Memetik katanya “sesuatu yang digunakan bukan untuk tujuan yang diciptakan akan menimbulkan kerosakan. Fikiran mengiyakan. Mengambil contoh andai telefon bimbit dicipta untuk menghubungkan 2 insan (bersaudara bukan bercinta J )yang berada jauh, namun andainya ia digunakan untuk membaling anjing atau dibuat penyendal pintu nescaya rosak akhirnya. Begitu juga dengan manusia, andai tidak menepati tujuan diciptakan maka manusia itu akan rosak. Pedoman saya amat mudah. Kembalilah kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Kerana firman Allah dan sabda Rasulullah itu tiada tolak banding kehebatannya.


Contoh saya tidak lain tidak bukan hanyalah Nabi Muhammad S.A.W. seseorang yang memahami tujuan hidup hanyalah untuk Allah, maka segala perbuatannya hanya mengharapkan Allah bukan balasan di dunia yang fana.

Banyak lagi yang dikongsikan, tapi tidak dapat aku muatkan dalam coretan jalanan ini. Perkongsian yang cukup hebat, daripada seorang musafir yang bermusafir untuk bertemu teman-teman lamanya. Mengharap naungan Allah di Hari perhitungan dengan mengamal dan mengimplimentasikan ‘bertemu dan berpisah kerana Allah (semoga Aku digolongkan dalam golongan ini).

Mengikuti saranan Allah didalam Al-Quran, beliau melangkah menuju musafir. Benarlah kata pepatah “jauh perjalanan, luas permandangan, tambah pengetahuan”. Tidak rugi rasanya aku pulang ke Melaka minggu ini, tidak rugi juga wang yang diguna untuk membeli tiket andai dibandingkan dengan pengisian dan perkongsian sebegini.

Akhir kata-katanya menyentuh berkaitan 1. Berusaha. 2. Jangan merasa sedih. 3. Berdoa kepada Allah. 4. Bertawakal kepada Allah. 5. Jangan kata kalau begini, maka begini. 6. Menerima ketentuan Allah dan redha atasnya.

Syukran, terima kasih, nandre, sheseh, thank you, arigato gozaimas akhi. Akhir pertemuan kami, aku berdoa semoga Allah mempertemukan kami lagi, jika tidak di dunia, Insya-Allah di akhirat kelak. =>

17 Jan 2013

12.52 am

*terdetik untuk post benda ni bilamana aku merasakan kami adalah 1 agama yang bukan dipisahkan dengan bangsa atau warna kulit. 

No comments:

Post a Comment